Thursday, March 17, 2011

BILA TERSENYUM

Zaman dahulu jika seorang anak dara dirisik atau dipinang oleh seorang lelaki, anak dara itu hanya akan berdiam diri  atau tersenyum sahaja.  Ketika itu ibu bapa akan mengetahui yang anak dara mereka bersetuju dengan peminangan tersebut. Begitulah komunikasi masyarakat pada zaman dahulu. Jika bertanya sesuatu dan orang membalasnya dengan berdiam diri dan tersenyum maka dianggap bersetuju. Itulah sebabnya ada kata-kata yang menunjukkan situasi seperti ini yang berbunyi
MALU TAPI MAHU
Namun komunikasi seperti ini akan menimbulkan perselisihan faham terutama untuk perkara-perkara serius. Mungkin anak-anak muda ini ingin menunjukkan rasa hormat mereka kepada golongan yang lebih tua serta tidak mahu secara berterus-terang kerana khuatir melukakan hati pihak lelaki.
     Namun tidak salah bagi anak-anak perempuan meluahkan apa yang tersirat di hati mereka namun haruslah menggunakan bahasa yang tidak merosakkan ciri-ciri seorang wanita muslimah. Seorang wanita juga berhak terhadap diri mereka.

Friday, March 11, 2011

BAHASA KASAR

Bahasa kesat sering kali dikaitkan dengan MENCARUT atau bahasa kasar namun jangan terkejut dengan situasi ini di Melaka. Bagi masyarakat Melaka apabila berjumpa teman mereka akan menggunakan bahasa seperti itu dapat menunjukkan kemesraan antara mereka.    Contoh kata-kata kasar yang digunakan oleh masyarakat Melaka seperti
CELAKA....LAHABAU...HAWAU
Contoh ayatnya supaya dapat dilihat dengan jelas seperti

"Celaka kau lama aku tak jumpa kau."
"Hawau kau,sihat ja aku tengok kau. Aku dengar kau kemalangan"

Bagi masyarakat luar yang mendengarnya dan tidak biasa dengan situasi ini akan terperanjat dan merasakan orang itu biadab. Begitulah budaya dan masyarakat di Malaysia. Orang berkata tak kenal maka tak cinta. Jangan mudah menilai sesuatu itu tanpa mengetahuinya terlebih dahulu.



Wednesday, March 9, 2011

PELAT......

Pelat selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak yang baru belajar bercakap atau mempunyai lidah pendek. Namun kini pelat sudah menjadi kegemaran anak muda masa kini. hal ini boleh dilihat melalui khidmat pesanan ringkas SMS atau komen-komen yang mereka tulis di lama sosial seperti facebook. Contoh perkataan yang berbeza dari perkataan asal seperti :
Nak titut  ikut , temuk gemuk, tomei comel.
Remaja kini gemar menggunakan perkataan seperti ini dan apa yang saya lihat perkataan seperti ini digunakan untuk menunjukkan kemanjaan atau kegedikan. Namun situasi seprti inlah yang akan merosakkan keindahan bahasa itu sendiri. Kerajaan Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara serantau iaitu INDONESIA dan BRUNEI bagi menghasilkan satu sistem ejaan yang sesuai dengan bahasa Melayu kita. Sistem ejaan baharu yang diperkenalkan adalah yang terbaik bagi bahasa Melayu.

BAHASA REMAJA KINI

Sedang berjalan-jalan mencari makanan, saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar. Antara dialog yang mereka sembangkan seperti ini.


                            SI A  :  Aku geram betulla kat Minah tu. Kerek semacam.
                            SI B  :  Minah mana pulak ni.
                            SI A  :  Budak kelas kitalah. Bajet bangus sangatla. Aku geram je.
                            SI B  :   SI ..................... tu ke??
                            SI A  :  Yela.Sapa lagi kalau bukan dia.
Mungkin mereka tidak perasan kehadiran saya di situ. Dalam kerancakan mereka berbual saya dapat mendengar bahasa yang mereka gunakan. Perkataan "kerek" dan juga "bajet" merupakan perkataan yang sering digunakan oleh remaja masa kini. Kita sering kali dapat melihat remaja masa kini yang kreatif dalam membina perkataan baharu. Namun perkataan yang mereka cipta boleh merosakkan bahasa Melayu sendiri.

Monday, March 7, 2011

MEMBELA DIRI ATAU KURANG AJAR

Saya baru selesai membaca sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan seorang seorang remaja. Jalan ceritanya menarik serta gaya bahasa yang digunakan juga turut boleh menarik hati hati pembaca. Namun ada situasi dalam cerpen ini yang membuat saya tertanya-tanya. Si ibu memarahi si anak kerana tidak berkahwin-kahwin lagi. Apabila anak menjawab leteran Si ibu, si ibu memarahi anak kerana menjawab.
    Sering kali juga situasi ini kita lihat di kaca-kaca televisyen. Apabila Si ibu memarahi anaknya dalam bentuk soalan seperti ini:
"Ke mana sajalah anak dara ni pergi. Dah senja-senja baru nampak batang hidung."
Jika si anak menjawab leteran ibunya, pasti dimarahi oleh ibunya dan mengatakan anaknya menjawab. Ada yang lebih teruk lagi anak itu dikatakan kurang ajar. itulah peliknya bila dimarahi dan menjawab untuk membela diri dikatakan kurang ajar atau biadab. Jadi di sini dilihta seperti tiada ruang untuk membela diri.
       Mungkin seorang ibu yang sedang marah tidak perasan apa yang diperkatakannya sehingga seperti kata-kata amarahnya seperti soalan.

WAJARKAH???

Pada 2 Mac 2011 telah diadakan satu taklimat praktikum bersama Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Profesor Dato' Dr. Aminah Ayob. Banyak maklumat yang beliau sampaikan ketika taklimat tersebut. Namun apa yang menarik disini ialah ketika sesi soal jawab pelajar bersama beliau. Terdapat pelajar yang pandai menggunakan bahasa sapaan namun terdapat segelintir seperti kurang sopan bertanya. Seorang pelajar telah bertanya kepada Naib Canselor.
Apakah tindakan anda terhadap masalah ini??
Pada tatabahasanya ayat tanya ini tidak mempunyai masalah dan betul namun untuk seorang pelajar bertanya kepada seseorang yang terhormat dengan menggunakan  kata diri kedua  'ANDA' adalah tidak wajar sama sekali untuk digunakan. Sering kali disekolah dulu saya sering mendengar kata ganti diri kadua yang digunakan pelajar kepada guru seperti 'KAMU dan ANDA' ini.
    Seorang guru bahasa perlulah memberikan penekanan terhadap bahasa sapaan yang harus dan sesuai digunakan oleh pelajar bagi setiap situasi serta pada pihak-pihak tertentu.

Monday, February 28, 2011

SATU AYAT TETAPI BANYAK MAKNA

Masyarakat hari ini senang mengambil cara mudah terutama dalam komunikasi. Namun cara mudah ini sering sahaja memberi perselisihan faham untuk memahami maksud yang cuba disampaikan. Terdapat beberapa komunikasi mudah yang boleh menyebabkan perselisihan paham.

"Makan mak"
"Sihat cikgu"

Kata-kata seperti ini sering kali kita dengar melalui perbualan-perbulan biasa. Kalau diteliti kata-kata ini menyampaikan banyak maksud seperti contoh "makan mak". Kata-kata ini menunjukkan seoarang anak ingin memakan ibunya dan juga menyampaikan maksud mengajak ibunya untuk makan bersama. Namun hanya orang yang lurus bendul sahaja akan berfikir anak itu ingin memakan ibunya. Tetapi bagi contoh yang kedua iaitu "sihat cikgu" boleh mendatangkan kekeliruan. Hal ini kerana perkataan itu membawa maksud untuk bertanyakan kesihatan gurunya atau pun menyatakan kesihatan dirinya sendiri.

      Sistem pesanan ringkas(SMS) juga sering mendatangkan masalah dalam berkomunikasi. Sistem ejaan yang digunakan seperti menulis nota yang hanya difahami oleh diri sendiri. Seperti contoh "Chat?". Perkataan ini boleh memberi fahaman yang berbeza kepada penerima SMS tersebut. Sama ada ingin bertanya kesihatan penerima SMS tersebut atau ingin mengajak orang itu bersembang.

   Mungkin pada sesetengah situasi komunikasi sebegini memudahkan namun jika diselidiki memberi banyak keburukan. Komunikasi haruslah berlangsung secara dua hala. Orang yang berkomunikasi haruslah menjauhkan pemikiran bahawa orang yang diajak berbual faham apa yang kita sampaikan kepadanya. Jangan pandai membuat andaian "Dia faham apa yang aku cakap ni".