Thursday, March 17, 2011

BILA TERSENYUM

Zaman dahulu jika seorang anak dara dirisik atau dipinang oleh seorang lelaki, anak dara itu hanya akan berdiam diri  atau tersenyum sahaja.  Ketika itu ibu bapa akan mengetahui yang anak dara mereka bersetuju dengan peminangan tersebut. Begitulah komunikasi masyarakat pada zaman dahulu. Jika bertanya sesuatu dan orang membalasnya dengan berdiam diri dan tersenyum maka dianggap bersetuju. Itulah sebabnya ada kata-kata yang menunjukkan situasi seperti ini yang berbunyi
MALU TAPI MAHU
Namun komunikasi seperti ini akan menimbulkan perselisihan faham terutama untuk perkara-perkara serius. Mungkin anak-anak muda ini ingin menunjukkan rasa hormat mereka kepada golongan yang lebih tua serta tidak mahu secara berterus-terang kerana khuatir melukakan hati pihak lelaki.
     Namun tidak salah bagi anak-anak perempuan meluahkan apa yang tersirat di hati mereka namun haruslah menggunakan bahasa yang tidak merosakkan ciri-ciri seorang wanita muslimah. Seorang wanita juga berhak terhadap diri mereka.

Friday, March 11, 2011

BAHASA KASAR

Bahasa kesat sering kali dikaitkan dengan MENCARUT atau bahasa kasar namun jangan terkejut dengan situasi ini di Melaka. Bagi masyarakat Melaka apabila berjumpa teman mereka akan menggunakan bahasa seperti itu dapat menunjukkan kemesraan antara mereka.    Contoh kata-kata kasar yang digunakan oleh masyarakat Melaka seperti
CELAKA....LAHABAU...HAWAU
Contoh ayatnya supaya dapat dilihat dengan jelas seperti

"Celaka kau lama aku tak jumpa kau."
"Hawau kau,sihat ja aku tengok kau. Aku dengar kau kemalangan"

Bagi masyarakat luar yang mendengarnya dan tidak biasa dengan situasi ini akan terperanjat dan merasakan orang itu biadab. Begitulah budaya dan masyarakat di Malaysia. Orang berkata tak kenal maka tak cinta. Jangan mudah menilai sesuatu itu tanpa mengetahuinya terlebih dahulu.



Wednesday, March 9, 2011

PELAT......

Pelat selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak yang baru belajar bercakap atau mempunyai lidah pendek. Namun kini pelat sudah menjadi kegemaran anak muda masa kini. hal ini boleh dilihat melalui khidmat pesanan ringkas SMS atau komen-komen yang mereka tulis di lama sosial seperti facebook. Contoh perkataan yang berbeza dari perkataan asal seperti :
Nak titut  ikut , temuk gemuk, tomei comel.
Remaja kini gemar menggunakan perkataan seperti ini dan apa yang saya lihat perkataan seperti ini digunakan untuk menunjukkan kemanjaan atau kegedikan. Namun situasi seprti inlah yang akan merosakkan keindahan bahasa itu sendiri. Kerajaan Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara serantau iaitu INDONESIA dan BRUNEI bagi menghasilkan satu sistem ejaan yang sesuai dengan bahasa Melayu kita. Sistem ejaan baharu yang diperkenalkan adalah yang terbaik bagi bahasa Melayu.

BAHASA REMAJA KINI

Sedang berjalan-jalan mencari makanan, saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar. Antara dialog yang mereka sembangkan seperti ini.


                            SI A  :  Aku geram betulla kat Minah tu. Kerek semacam.
                            SI B  :  Minah mana pulak ni.
                            SI A  :  Budak kelas kitalah. Bajet bangus sangatla. Aku geram je.
                            SI B  :   SI ..................... tu ke??
                            SI A  :  Yela.Sapa lagi kalau bukan dia.
Mungkin mereka tidak perasan kehadiran saya di situ. Dalam kerancakan mereka berbual saya dapat mendengar bahasa yang mereka gunakan. Perkataan "kerek" dan juga "bajet" merupakan perkataan yang sering digunakan oleh remaja masa kini. Kita sering kali dapat melihat remaja masa kini yang kreatif dalam membina perkataan baharu. Namun perkataan yang mereka cipta boleh merosakkan bahasa Melayu sendiri.

Monday, March 7, 2011

MEMBELA DIRI ATAU KURANG AJAR

Saya baru selesai membaca sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan seorang seorang remaja. Jalan ceritanya menarik serta gaya bahasa yang digunakan juga turut boleh menarik hati hati pembaca. Namun ada situasi dalam cerpen ini yang membuat saya tertanya-tanya. Si ibu memarahi si anak kerana tidak berkahwin-kahwin lagi. Apabila anak menjawab leteran Si ibu, si ibu memarahi anak kerana menjawab.
    Sering kali juga situasi ini kita lihat di kaca-kaca televisyen. Apabila Si ibu memarahi anaknya dalam bentuk soalan seperti ini:
"Ke mana sajalah anak dara ni pergi. Dah senja-senja baru nampak batang hidung."
Jika si anak menjawab leteran ibunya, pasti dimarahi oleh ibunya dan mengatakan anaknya menjawab. Ada yang lebih teruk lagi anak itu dikatakan kurang ajar. itulah peliknya bila dimarahi dan menjawab untuk membela diri dikatakan kurang ajar atau biadab. Jadi di sini dilihta seperti tiada ruang untuk membela diri.
       Mungkin seorang ibu yang sedang marah tidak perasan apa yang diperkatakannya sehingga seperti kata-kata amarahnya seperti soalan.

WAJARKAH???

Pada 2 Mac 2011 telah diadakan satu taklimat praktikum bersama Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Profesor Dato' Dr. Aminah Ayob. Banyak maklumat yang beliau sampaikan ketika taklimat tersebut. Namun apa yang menarik disini ialah ketika sesi soal jawab pelajar bersama beliau. Terdapat pelajar yang pandai menggunakan bahasa sapaan namun terdapat segelintir seperti kurang sopan bertanya. Seorang pelajar telah bertanya kepada Naib Canselor.
Apakah tindakan anda terhadap masalah ini??
Pada tatabahasanya ayat tanya ini tidak mempunyai masalah dan betul namun untuk seorang pelajar bertanya kepada seseorang yang terhormat dengan menggunakan  kata diri kedua  'ANDA' adalah tidak wajar sama sekali untuk digunakan. Sering kali disekolah dulu saya sering mendengar kata ganti diri kadua yang digunakan pelajar kepada guru seperti 'KAMU dan ANDA' ini.
    Seorang guru bahasa perlulah memberikan penekanan terhadap bahasa sapaan yang harus dan sesuai digunakan oleh pelajar bagi setiap situasi serta pada pihak-pihak tertentu.

Monday, February 28, 2011

SATU AYAT TETAPI BANYAK MAKNA

Masyarakat hari ini senang mengambil cara mudah terutama dalam komunikasi. Namun cara mudah ini sering sahaja memberi perselisihan faham untuk memahami maksud yang cuba disampaikan. Terdapat beberapa komunikasi mudah yang boleh menyebabkan perselisihan paham.

"Makan mak"
"Sihat cikgu"

Kata-kata seperti ini sering kali kita dengar melalui perbualan-perbulan biasa. Kalau diteliti kata-kata ini menyampaikan banyak maksud seperti contoh "makan mak". Kata-kata ini menunjukkan seoarang anak ingin memakan ibunya dan juga menyampaikan maksud mengajak ibunya untuk makan bersama. Namun hanya orang yang lurus bendul sahaja akan berfikir anak itu ingin memakan ibunya. Tetapi bagi contoh yang kedua iaitu "sihat cikgu" boleh mendatangkan kekeliruan. Hal ini kerana perkataan itu membawa maksud untuk bertanyakan kesihatan gurunya atau pun menyatakan kesihatan dirinya sendiri.

      Sistem pesanan ringkas(SMS) juga sering mendatangkan masalah dalam berkomunikasi. Sistem ejaan yang digunakan seperti menulis nota yang hanya difahami oleh diri sendiri. Seperti contoh "Chat?". Perkataan ini boleh memberi fahaman yang berbeza kepada penerima SMS tersebut. Sama ada ingin bertanya kesihatan penerima SMS tersebut atau ingin mengajak orang itu bersembang.

   Mungkin pada sesetengah situasi komunikasi sebegini memudahkan namun jika diselidiki memberi banyak keburukan. Komunikasi haruslah berlangsung secara dua hala. Orang yang berkomunikasi haruslah menjauhkan pemikiran bahawa orang yang diajak berbual faham apa yang kita sampaikan kepadanya. Jangan pandai membuat andaian "Dia faham apa yang aku cakap ni".
          

Saturday, February 26, 2011

INDAHNYA KALAU TERSENYUM

Mendengar bait-bait lirik lagu Senyum nyanyian Malique berduet dengan Najwa membuat orang ramai pasti tersenyum. Antara rangkap lirik yang paling saya suka ialah:

"Cantik dalam cantik dengar sini kalau cantik senyum, cantik mesti  cantik lagi"

Mungkin liriknya melanggar hukum tatabahasa tetapi mesej yang disampaikan memberikan makna yang tersendiri. Seseorang akan menjadi manis dan semakin cantik jika senyuman menghiasi bibirnya.

Saya suka melihat petugas yang bertugas menjaga kaunter. Terdapat pelbagai ragam dan mimik muka yang dapat dilihat di muka mereka. Saya pernah pergi ke sebuah kedai. Melihat juru jual yang menjaga kaunter saya memuji kecantikan yang ada padanya tapi saya merasa sedikit kekurangan. Juru jual ini tidak mengukirkan senyuman. Mukanya masam sahaja seperti kata orang muka cuka. Apalah salahnya memberi senyuman kepada pelanggan yang datang. Senyum itukan sedekah. Mungkin mahal baginya untuk memberikan senyuman. Apabila saya ingin membayar barang-barang yang dibeli dan melepmparkan senyuman kepadanya, mukanya tetap begitu. Tiada sepalit pun senyuman di bibirnya.

Friday, February 25, 2011

KENAPA SUKA CAMPUR-CAMPUR BAHASA???

Bahasa rojak penggunaannya semakin meluas pada masa kini. Kadang-kala tidak kira tempat atau suasana bahasa ini tetap juga digunakan. Bahasa rojak ini mencemarkan bahasa Melayu sedangkan sering dilaung-laungkan Bahasa Jiwa Bangsa. Namun kata-kata itu hanya menjadi mainan dimulut sahaja sedangkan bibir dan hati mereka cuba membunuh bahasa Melayu itu sendiri. Ketika sedang enak menjamu selera saya mendengar perbualan pelanggan bersama pekerja di restoran tersebut. Melihat cara pakaiannya saya menyangkakan dia bukan seoarng Melayu tetapi bila mendengar lenggok suaranya sangkaan saya salah belaka. Sedihnya apabila seorang yang berbangsa Melayu sendiri cuba mencemarkan kemurnian dan keindahan bahasa melayu itu.
 "You all buka kedai ni pukul berapa?"
Adakah salah jika menggunakan ayat bahasa Melayu sepenuhnya walaupun bukan bahasa Melayu tinggi. Kenapa perlu mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa lain. Adakah menunjukkan taraf seseorang jika menggunakan bahasa rojak ini.

Thursday, February 24, 2011

PUKUL ANAK SINDIR MENANTU

Tajuk ini tidaklah bermaksud seoarang ibu mertua memukul anaknya tetapi hanya merupakan peribahasa yang menunjukkan seseorang memberi nasihat atau memarahi orang yang rapat dengannya untuk tujuan memberi sindiran kepada orang lain seperti seorang mertua yang memarahi anaknya sedangkan bertujuan untuk menyindir si Menantu. Mungkin bagi sesetangah situasi cara ini merupakan terbaik untuk menegur seseorang tetapi bagi sesetangah orang mungkin boleh terasa hati. Mungkin ayat yang digunakan oleh orang itu terlalu keras atau menujukkan ayat sindiran. Ada satu peristiwa sewaktu saya pergi menghadiri kenduri, saya melihat sekumpulan remaja sedang berbual dengan rakan-rakannya. Bukan niat untuk mencuri dengar tetapi kata-kata mereka menarik perhatian saya. Saya mendengar seorang dari mereka memarahi rakannya tetapi yang saya pelik rakan yang dimarahi itu bermuka selamba sahaja. Apabila seorang rakan yang lain pula berkata barulah saya paham.
 "Kalau nak marah aku tak payahlah nak sindir-sindir aku."
Akhirnya barulah saya paham rupa-rupanya rakannya itu menyindir rakannya. Saya dapat melihat betapa merahnya muka rakan yang disindir tadi. Rakannya yang menyindir itu hanya berdiam sahaja. Apabila rakannya pergi barulah rakan yang menyindir itu bertkata-kata.
"Janji pukul berapa datangnya entah pukul berapa. Geram aku".
Bagi saya hal ini seharusnya dibawa berbincang dan menyatakan secara elok. Mungkin rakannya itu terlampau marah jadi menggunakan pendekatan pukul anak sindir menantu.

Tuesday, February 22, 2011

PERTUNANGAN DULU DAN KINI

Semasa cuti Tahun Baru Cina pada penghujung januari saya berkesempatan pergi ke satu majlis pertunangan sepupu saya. Majlisnya sungguh meriah namun saya dapat melihat perubahan adat pertunangan sekarang dan juga dahulu. Jika dahulu malis pertunangan dimulakan dengan sesi berbalas pantun oleh wakil kedua-dua belah pihak namun kini acara itu diabaikan. Pada waktu dahulu  pihak lelaki akan berkias-kias untuk menyunting si anak dara. Namun pada waktu ini wakil akan secara terus berkata mahu meminang si anak dara. Semakin lama adat peminangan semakin dilupakan. Terdapat juga pasangan yang mengikut cara barat melamar sendiri pasangannya.

Friday, January 28, 2011

KOMUNIKASI ATAU NYAWA LEBIH BERHARGA

Kalau difikirkan zaman ini memanglah komunikasi itu penting. Zaman teknologi ini pelbagai kemudahan untuk komunikasi berkembang pesat. Ada 3G, Video call dan pelbagai lagi. Namun ini tidak bermakna kita harus mempertaruhkan nyawa hanya semata-mata untuk berkomunikasi. Sewaktu di dalam bas, saya melihat satu aksi yang boleh dikatakan berbahaya. Seorang penunggang motosikal memegang telefonnya dan menekan-nekan kekunci di telefon bimbitnya. Melihat keadaan jalan raya yang terdapat banyak kenderaan besar iaitu lori boleh membahayakan si penunggang. Seringkali dilaungkan sesaat terleka segalanya musnah diabaikan leh penunggang motosikal tersebut.

Si Kecil

DAMIA FASIHA


Melihat si kecil membesar dari sekecil tapak tangan, sudah pandai meniarap, pandai merangkak, mula duduk,berdiri..berjalan dan akhirnya pandai bercakap sesuatu yang menghiburkan. Si kecil mudah mempelajari apa yang diajarkan kepadanya. Si kecil ini mudah meniru apa yang dilihat dan didengarinya. Anak buah saya Damia Fasiha berusia 12 bulan. Mungkin dirumahnya hanya ada ibu dan ayah, sesekali pulang ke kampung Damia mudah meniru apa yang dilihat dan didenagrinya. Kalau saya marah kepadanya dengan menyebut perkataan "hep" dia akan menirunya juga sambil mengangkat tangan untuk memukul saya. Melihat sepupunya yang berusia 4 bulan bermain dengan bibir "brrrr" Damia akan menirunya sebegitu.


ZURHANIS

Perkembangan si kecil ini dipengaruhi oleh perasaan ingin tahu dan mencuba mereka. melihat perkara-perkara disekeliling mereka membuat mereka ingin sentiasa mencuba dan mengetahuinya. Bagi ibu bapa saat inilah yang harus dititik beratkan. Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah insan yang bertanggungjawab mencoraknya.

Monday, January 17, 2011

Mari Belajar Dialek

Hidup di alam kampus menemukan saya dengan teman-teman yang berasal dari negeri yang berlainan. Bergaul dengan mereka kadang kala menyebabkan saya tertarik untuk belajar dan menggunakan dialek mereka terutama dialek Utara dan Pantai Timur. Namun mungkin lidah ini terlampau keras sehinggakan sebutan yang ingin disebut tidak terbentuk dengan betul. Mungkin saya perlu mengambil kelas vokal untuk memantapkan lagi sebutan itu. Walaupun dah hampir tiga tahun bersama-sama namun kadang kala ternganga juga nak paham apa yang kawan-kawan cakapkan. Kalau nak jadi menantu orang negeri-negeri Pantai Timur dan Utara rasa-rasanya memang tak lepas lagila. Kata orang, nanti mak mertua mengutuk pun kita boleh duk senyum-senyum kucing. Tak ke haru masa tu.
       
     Selalu juga saya cuba untuk bercakap dialek Utara dan Pantai Timur namun lain yang ingin dituturkan lain pula bunyinya. Bertutur dialek utara tidak mendatangkan banyak masalah untuk menyebutnya tapi dialek pantai Timur terutama Kelantan sering menimbulkan bunyi yang kurang enak didengar. Kebanyakan alat artikulasinya ialah pada anak tekak atau huruf  "Ghin" seperti POGHAH (Comot) dan Tok DENGHIH ( tak berganjak),KORE (kukur kelapa), SOYOK (koyak), CONGEK CAKDONG ( jongkang-jongket). Mungkin melihat ejaannya mudah bagi kita menyebutnya namun kalau tersilap akan menyebabkan ketawa dari teman-teman meletus. Kalau pergi ke kedai yang penjualnya dari Kelantan , dari teringin untuk mempraktikkan dialek Kelantan namun bila melihat kebingungan kakak penjual tu niat dimatikan.. "cakap luar sudah"

Friday, January 14, 2011

Puisi Seindah Kata

Puisi..oh...Puisi..
Banyak-banyak puisi yang paling saya suka semestinya pantun sebab...pantun ni mudah digubah dan dicipta.
Namun saya bukanlah pencipta pantun yang baik tp indah tu tetap ada. Walaupun pantun ini pendek sahaja namun boleh menyampaikan maksud hati dengan mudah.

Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap-harap padamu tuan,
Tidak tuan siapa lagi.

Mudah dan ringkas namun menyampaikan maksud tersurat. Berkata tentang indahnya puisi teringat satu peristiwa. Ada hati nak jadi penyelamat keadaan namun rasa-rasanya memburukkan keadaan. Waktu tu kawan baik saya, Syaya (bukan nama sebenar)  merajuk dengan buah hatinya, Haikal (bukan nama sebenar).ehem..Saya pun dengan rajinnya mencipta pantun-pantun agar kawan baik saya ni lembut hati. Pantun tu saya beri pada si Haikal  dan selepas tu si Haikal ni bolehla beri pada Si Syasya pujaan hati. Entah macam mana saya boleh tersilap hantar mesej kepada kawan baik saya tu. Mula-mula Syasya pandang dan tersenyum-senyum saya rasa hairan. Hati mula rasa tak sedap. Bila dia kata "ce tengok inbox ko" saya dah menjerit. Aduhai...

Bicara tentang bahasa

Aku tak pandai mengarang puisi,
Tidakku pandai bermadah berseni..

Saya tidaklah pandai untuk bermain dengan bahasa atau lebih jelas lagi saya bukanlah jenis giler-giler bahasa. Dalam dunia ni ada banyak bahasa yang wujud dan ada juga bahasa yang telah pupus. Di Malaysia ni pun kita boleh lihat pelbagai bahasa digunakan. Bahasa cerminan bangsa, bahasa cerminan budaya. Namun sejauh mana kita cuba mencerminkan bangsa Malaysia. 1 Malaysia, satu bahasa. Bukan salah untuk menggunakan bahasa yang sesuai dengan jiwa  namun janganlah sampai mencemarkan bahasa sehingga menghilangkan identiti bangsa MALAYSIA.